Kau Masih sayang 'Aku' tak?

Emm, cuaca mendung, aku berdiri dijendela dan memandang kelangit.. sekarang musim, hampir tiap petang hujan pasti turun, terkenang pula mereka yang menghadapi banjir dimusim tengkujuh ini..saban tahun. Asal sampai saja musim hujan, rela atau terpaksa mereka harus bersedia..mental dan fizikal, tapi bila dibandingkan aku dan mereka..panjang nafas ku teguk sambil menyatakan syukur, begitu nikmat ini tiada yg dapat memberi kecuali Allah, seumur hidup aku tidak pernah merasa sukarnya menghadapi banjir besar sebagaimana mereka. Kehilangan harta… malah ada tikanya bertarung nyawa…atau terus dijemput pulang. Sambil meneguk Nescafe panas kegemaran, aku lihat kebawah, ‘mamat, jiran aku, menggosok-gosok, mengelap dan membelai lembut objek besi dihadapannya. Emmm ralit sungguh dia, sambil terhangguk2 mendengar lagu. Rasa-rasa ku, sudah lebih 3 jam dia bersama ‘kekasih besi’nya itu.

Manakan tidak, aku sempat membasuh dan menyidai pakaian malah sempat pula menyudahkan satu artikel sebelum ini. Dia masih jua dengan si ‘SLK’ (small Littel Kenari). Tiba-tiba dia mendongak sambil tersenyum memandang, hihii.. alamak dia sedar aku sedang ‘skoding’ dialah.. cis!.. aku mengangguk lalu beredar dari sisi jendela..

Emmm..tak semena-mena, aku mendapat idea lalu terus aku duduk dihadapan moniter ini dan jari jemari ku semakin laju menari-nari di buai pula irama Wind Of Change ~ Scorpions..

Kenapa dan mengapa ye.. ramai dari kita mempunyai satu atau banyak benda yang kita sayang dalam satu masa. Tak kira samada manusia atau harta.. dari kisah ‘mamat’ jiran aku tadi.. aku terfikir. Kalau kita sayang atau kita minat sesuatu itu, kita mampu habiskan masa, duduk mengadap atau memperuntukkan perhatian untuknya tak kisah berapa lama pun, berjam-jam sampai lupa makan minum.

Emm... katakan minat kita memancing, kita habiskan masa mencari joran terbaik, kemudian kita habiskan masa mengadap tasik atau laut berjam-jam dengan tekun dan sabar sekali. Walau belum tentu umpan mengena. Kalau kereta. Kita sanggup tukar sport rim yang harganya lebih mahal dari belanja makan kita sebulan. Belum cat, eksesori tah menda-menda lagi...

Malah untuk kekasih bernama manusia pula, kita boleh mengadap tanpa jemu, lihat wajahnya, tenung matanya, senyumnya, tawa hilainya, lengguk gayanya, kumisnya, janggutnya..malah kengkadang... erk..terlebih pula sampai ada yang boleh tergosok terbelai..ala hai..

Tapi..kenapa ya, jarang benar kita sayang dan ingin menggosok, membelai dan mengusap lembut dan manja hati kita ...qalbi kita sendiri. Ada tapi rasanya tidak ramai yang buat, yang berkata-kata dan berbual dengan hatinya sendiri. Bertanya khabar, melihat luka, parut dan rosak yang terjadi sepanjang pengabadian dia dan kita berpuluh tahun lama. Punyalah dia setia, tapi kita buat dekk je kedia.

Sering kita biarkan dia sendiri.. merawat pedih dan seksanya sendiri!
Luka? Biarlah yang mana akhirnya dia menjadi dendam,
Sakit? Tak kisah sehingga dia nazak bertukar kesumat,
Kecewa? sudahnya sampai patah dia,
Resah? Membawa dia gelisah .
Paling malang dia terbiar dalam gelap, sampai MATI..
sanggup kita tak peduli hati kita yang ‘cedera parah’ ini, kita tak beri masa dan peluang merawatnya.

Yang kita rasa kita dah rawat dah hati kita. Oh ye ke..tapi rasanya tentu caranya kurang sesuai kot, sebab tu masih juga ‘rasa’ dan ‘perasaan’ itu tak pergi-pergi ye tak. ‘rasa’ dan ‘perasaan’ tu sering kali datang berkunjung juga kan..puas dihalau, puas ditepis, tapi masih lagi dia berbuai dan menari-nari dihati, malah paling nyilu perasaan itu bergayutan ditangkainya sampai peritnya menusuk ketulang hitam. Betul kan…

Jadi, apa kata, kita ambil masa sedikit, untuk hati kita itu, berbuallah, tanya masalahnya dan tanya mahunya, kemudian rawatlah dia dengan 5 perkara…
Insya’allah semakin sering kita melawat dan merawat, pasti selepas itu hati itu akan hidup dan subur, ‘rasa dan perasaan’ yang menusuk sampai ketulang hitam akan hapus.

Pasti ‘nikmat’ baru akan muncul menggantikannya. Bunga-bunga redha, syukur, sabar, tabah, ambil berat, kasih sayang, akan kembang dan wanginya terzahir pada perbuatan dan wajah kita nanti.. itulah ‘nikmat’ selepas hati kita dapat dirawat..Insya’allah, kalau kita tak mula, kita lansung tak beri peluang hati kita dirawat, tapi, kalau kita dah mula, perubahannya pasti kita rasai..

seorang ulama, Ibrahim Al-Khawas RA: “ Sesungguhnya ubat hati itu ada lima perkara, maka ubatilah hati kamu dengan lima perkara tersebut. Pertamanya, bacalah Al-Quran dengan menghayati isi kandunganya. Kedua, mengosongkan perut dari terlalu kenyang atau berpuasa. Ketiga, bersolatlah, Keempat, menghampirkan diri kepada Allah (beribadat) disepertiga malam dan yang kelimanya, sentiasa bersama-sama di dalam majlis orang-orang yang soleh ”.

kita terlupa barangkali, atau terlepas pandang, bahawa kita ini diciptakan oleh Allah dengan sebaik-baik penciptaan. Bermulanya dengan setitik air (mani) yang hina, kalau jatuh ketanah ayam pun tak patuk, itik pun tak sudu. Lalu lahirlah kita bernama manusia. Kemudian Allah diberikan pula nikmat yang tak ternilai banyaknya tanpa mengira status kita. begitupun, kita sering lalai dan lupa untuk mensyukuri anugerah yang dikurniakan, malahan kita berlumba mengejar nikmat dunia.

Satu nikmat yang paling berharga dikurniakan kepada manusia ialah hati, yang merupakan raja segala gerak-geri yang dicerminankan oleh tingkah-laku manusia. Hati yang Allah cipta adalah semulia kejadian, di situlah bermulanya di situlah buruk, baik, sihat, lemahnya kita , di situlah segala-galanya.

Rasulullah SAW telah mengingatkan kita: “ Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging, jika sekiranya baik daging itu, maka baiklah seluruh diri manusia itu. Jika sekiranya buruk daging itu, maka buruklah seluruh diri manusia itu. Ketahuilah, bahawa ia adalah hati ”.

Hatilah punca segala-galanya. Jika tidak berpunca dari hati yang kotor, manusia tidak akan melakukan maksiat terhadap penciptanya. Namun, kita sentiasa tidak menghiraukan gelagat hati kita. Kita sering biarkan hati kita dikotori titik-titik hitam dan dihinggapi berbagai-bagai penyakit yang menjijikan. Natijahnya segala gerak-geri yang dipertontonkan melencong dari jalan yang dikehendaki Allah SWT.“

Al-Quran yang diturunkan kepada kita melalui insan agung SAW merupakan mukjizat yang tidak ada tolak bandingnya, Quran itulah ubat bagi hati yang berpenyakit. Seringlah melazimkan membacanya dan mentadabbur apa yang terkandung di dalamnya, makan akan terasa ketenangan hati. Hati sentiasa tidak lalai mengingati Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “ketahuilah, dengan mengingati Allah itu, hati akan tenang”. Tapi atas kesibukan hidup dan tuntutan duniawi kita lebih banyak memikirkan selain Allah.. lalu hati kita resah gelisah…

Begitu juga dengan mengosongkan perut dari terlalu kenyang akan mengubati segala penyakit yang tersemat dihati kerana dengannya hati akan beroleh kerehatan dan meringankan untuk melakukan ibadat kepada Allah SWT serta menjauhkan dari segala penyakit yang memudaratkan. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Barangsiapa yang sedikit makannya, sihatlah perutnya dan bersihlah hatinya. Barangsiapa yang banyak makannya, maka sakitlah perutnya dan keraslah hatinya”. Maka ada baiknya kita banyakkan berpuasa

Sabda Rasulullah SAW lagi: “ janganlah kamu matikan hati kamu dengan membanyakan makan dan minum, sesungguhnya hati itu seumpama tumbuh-tumbuhan, jika banyak disirami air maka ia akan mati ”.

Selain itu bagi mengubati hati ialah dengan sentiasa bagun malam beribadat kepada Allah SWT kerana dengannya akan menjauhkan diri kita dari tipu daya syaitan dan menjauhkan dari melakukan dosa serta mendapat keredhoan dari Allah SWT. Rasulullah SAW sentiasa mengingati ummatnya: “ hendaklah kamu bangun malam (beribadat) walaupun hanya mengerjakan satu rakaat sembahyang ”.

Maka yang demikian itu rajinkan lah diri kita untuk bangun dan bersolat malam dan Insya’Allah hati kita dalam keadaan sentiasa bersih dari segala penyakit,

Juga hati akan terubat dari segala penyakit dengan sentiasa bersama-sama di dalam majlis orang-orang yang soleh. Ini akan menyebabkan sedikit sebanyak akan terikut dengan tingkah laku, perbuatan dan percakapan mereka yang sentiasa mengingati Allah SWT. Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda: “ Berkata Luqman Al-Hakim kepada anaknya, wahai anakku, sentiasalah kamu berada dalam majlis alim ulama ( orang-orang yang soleh ) dan dengarlah kata-kata hikmah dari mereka. Sesungguhnya Allah SWT akan menghidupkan hati yang mati dengan cahaya hikmah sebagaimana Allah menghidupkan bumi dengan siraman hujan yang lebat ”.

Berkata seorang hukama’ : “ Sesungguhnya Allah SWT mempunyai sebuah kebun di atas dunia ini, barangsiapa yang masuk ke dalamnya maka bahagialah hidupnya. Kemudian ditanya padanya: “apakah kebun itu?, lantas dijawab bahawa kebun itu adalah majlis-majlis ilmu ( mengingati Allah ).

Begitulah di antara penawar-penawar yang digariskan oleh ulama bagi mengubati hati-hati kita dari segala penyakit yang menyebabkan gerak geri yang dipertontonkan oleh kita melencong ke arah kemurkaan Allah SWT. Mudah – mudahan kita digolongkan dikalangan hamba-hambanya yang sentiasa dalam keadaan hati bersih dari segala penyakit-penyakit yang menyebabkan kita lalai mengingati Allah SWT.

Nah sekarang… mari kita ambil masa.. teropong kedalam diri.. cari dimana letaknya seketul daging yang dinamakan hati.. lihat dan amati dia.. adakah dia masih putih…merah, atau kelabu.. atau lebam birat.. atau telah hitam dan mati…

emmm… perlahan..
ku pejamkan mata…
meluap warna pelangi dihati..
aku hidu wangian qalbi,
aku sentuh rasa penuh seni..
awan cinta...mekar disanubari..
cintaku pada Mu Ya Rabbi...

Comments

Popular posts from this blog

5 Cacat Lelaki Yang Membuat Wanita Tergoda